KUALA LUMPUR: Bilangan kes baharu COVID-19 menurun sebanyak 6.6 peratus kepada 26,678 kes pada Minggu Epidemiologi ke-32 (ME 32/2022) dari 7 hingga 13 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 60 kes kematian direkodkan sama seperti minggu sebelumnya.

"Bilangan kes sembuh pada ME 32/2022 pula meningkat sebanyak 1.1 peratus iaitu 28,604 kes kepada 28,905 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 32/2022 adalah 44,706 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.7 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan COVID-19, hari ini.

Sementara itu, bagi kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk kategori pesakit 1 dan 2, meningkat sebanyak 5.3 peratus manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5 meningkat sebanyak 11.4 peratus.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak dua peratus manakala bagi katil PKRC dan katil bukan kritikal masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak satu peratus.

Selain itu, peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat 0.3 peratus pada ME 32/2022 berbanding ME31/2022.

Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

"Jumlah kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.9 peratus, kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 2.1 peratus manakala kes yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat 66.4 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata purata nilai RT menunjukkan penurunan sebanyak 2.0 peratus.

Katanya, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 143 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif COVID-19 dengan kadar 18.6 peratus manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 dengan kekal 0 peratus pada ME 32/2022.

-- BERNAMA