Kes berkaitan HIV di negara masih di tahap membimbangkan dengan 17,000 kes dilaporkan setakat ini, menurut Majlis Aids Malaysia (MAM).

Presiden majlis itu Datuk Dr Raj Karim, berkata 90 peratus kes jangkitan HIV terdiri daripada lelaki di mana 26 peratus terdiri daripada golongan muda yang berumur antara 13 hingga 29 tahun, 60 peratus berusia 30 hingga 49 tahun dan selebihnya berusia 50 tahun ke atas.

"Berdasarkan laporan terkini, pengamal seks rambang merupakan yang paling banyak dijangkiti HIV diikuti penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada rumah perlindungan Casa Harapan di sini, hari ini.

Raj berkata MAM mengadakan pelbagai inisiatif menerusi rumah-rumah perlindungan di bawah naungannya dengan melaksanakan pelbagai program inisiatif rawatan, penjagaan, kaunseling, dan sokongan kepada pesakit.

"Sehingga Dis 2012, seramai 622 penghuni mendapat perlindungan di 24 buah rumah perlindungan di bawah naungan MAM," katanya.

Beliau berkata, MAM memperuntukkan RM15 juta setahun bagi melaksanakan pelbagai program di rumah-rumah perlindungan penghuni pesakit Aids di Malaysia.

Raj berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada agensi kerajaan, swasta, korporat dan orang ramai kepada rumah-rumah perlindungan berkenaan.

Pada majlis itu, NGC Energy Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Shell Gas LPG) turut menaja 1,008 tong gas di bawah program Penajaan Tahunan Gas Memasak Kepada 24 buah Rumah Perlindungan Majlis AIDS Malaysia untuk kegunaan sepanjang tahun 2013.

Sumbangan untuk tahun keempat itu disampaikan Pengurus Besar NGC Energy Sdn Bhd, Julianna Kamarudin kepada Raj yang mewakili rumah-rumah perlindungan di bawah naungan MAM.