Mahkamah Persekutuan menetapkan 7 Feb depan untuk mendengar rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua lain terhadap keputusan membenarkan kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan 'Abdullah'.

Timbalan Pendaftar, Syahrin Jeli Bohari menetapkan tarikh rayuan itu semasa kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini.

Prosiding kes pengurusan itu dihadiri oleh Peguam Kanan Persekutuan, Aida Nurdiana Che Kamarulzaman, yang mewakili JPN, ketua pengarah JPN dan kerajaan Malaysia peguam Haziq Otham bagi pihak Majlis Agama Islam Johor dan Kiattilin Sommat yang mewakili ibu bapa dan kanak-kanak tersebut.

Pihak berkenaan dalam kes itu turut diarah memfailkan hujahan masing-masing dua minggu sebelum pendengaran kes tersebut.

Pada 8 Sept lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN dan dua yang lain kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak Islam tidak sah taraf boleh dibinkan dengan nama bapanya dan bukan 'Abdullah'.

Pada 25 Mei lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh satu pasangan dan anak lelaki mereka yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan nama 'Abdullah' yang dibinkan kepada kanak-kanak itu dengan nama bapanya sendiri dalam sijil kelahiran.

-- BERNAMA