Ringkasan AI
- Jumlah mangsa banjir di lima PPS Kuala Selangor meningkat kepada 1,032 orang daripada 289 keluarga setakat 4 petang.
- Di Perak, jumlah mangsa banjir di Hilir Perak menurun kepada 330 orang daripada 94 keluarga berbanding pagi tadi.
- Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah Perak pada petang dan malam ini.
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus meningkat, manakala Perak merekodkan penurunan jumlah mangsa, setakat 4 petang tadi.
Di SELANGOR, bilangan mangsa banjir di lima PPS di daerah Kuala Selangor bertambah kepada 1,032 mangsa daripada 289 keluarga berbanding 945 mangsa daripada 265 keluarga, pagi tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 416 orang, diikuti Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching (287), SK Parit Mahang (238), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77) dan SK Jaya Setia (12).
Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak menurun kepada 330 orang daripada 94 keluarga berbanding 380 orang daripada 108 keluarga, pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan terdapat 257 mangsa di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), manakala PPS Dewan MPTI Langkap menjadi tempat berlindung bagi 73 mangsa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di Perak pada petang dan malam ini.
-- BERNAMA