Skip to main content

Dunia

Lebih 200,000 penduduk Gaza terjejas banjir - PBB

Setakat semalam, kerosakan dilaporkan membabitkan lebih 40,000 tempat perlindungan keluarga, lebih 900 tandas serta sembilan kemudahan kesihatan. - Reuters
Setakat semalam, kerosakan dilaporkan membabitkan lebih 40,000 tempat perlindungan keluarga, lebih 900 tandas serta sembilan kemudahan kesihatan. - Reuters
Advertisement

MOSCOW: Lebih 200,000 penduduk di Semenanjung Gaza terjejas akibat banjir susulan hujan lebat pada hujung minggu lepas, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

“Anggaran awal menunjukkan lebih 200,000 orang mungkin terjejas dan memerlukan bantuan kemanusiaan. Setakat semalam, kerosakan dilaporkan membabitkan lebih 40,000 tempat perlindungan keluarga, lebih 900 tandas serta sembilan kemudahan kesihatan,” menurut OCHA dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 950,000 mereka yang tiada kediaman kini tinggal di kawasan berisiko banjir, dengan 400,000 daripadanya berada di zon berisiko amat tinggi, dan hampir separuh daripada jumlah itu terdiri daripada kanak-kanak.

Advertisement

Pada Isnin, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan hujan lebat di tengah Gaza menyebabkan sebuah bukit pasir runtuh menimpa sebuah khemah, mengorbankan seorang wanita dan tiga kanak-kanak berusia empat, lima serta lapan tahun.

Pekerja bantuan kemanusiaan telah mengenal pasti sebanyak 245 tapak perlindungan sementara dan 23 laluan jalan raya yang memerlukan campur tangan segera menggunakan jentera berat, terutamanya di Bandaraya Gaza dan kawasan utara semenanjung itu.

Advertisement

Pertubuhan kemanusiaan turut memberi amaran mengenai kekurangan lokasi untuk memindahkan penduduk sekiranya kediaman mereka dinaiki air atau musnah akibat serangan tentera.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh tindakan pihak berkuasa Israel yang terus menyekat akses rakyat Palestin ke kawasan melangkaui apa yang dinamakan "garisan kuning", sekali gus menyebabkan sebahagian  besar Semenanjung Gaza tidak boleh diakses.

Selain itu, agensi-agensi berkenaan menekankan keperluan mendesak terhadap penyaluran dana segera serta kebenaran daripada Israel untuk membawa masuk jentera berat, minyak enjin dan alat ganti bagi memastikan kenderaan, peralatan serta generator sokongan dapat terus berfungsi.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement