GEORGE TOWN: Polis akan menyiasat sama ada wujud penglibatan kongsi gelap dalam dua kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth dan sebuah institusi menengah bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Balik Pulau di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sekiranya siasatan menunjukkan berlaku perkara itu, polis akan mengambil tindakan terhadap geng kongsi yang terlibat.

"Mengenai kes buli di sebuah sekolah dan sebuah institusi menengah bawah Mara, tangkapan sudah dibuat dan telah diberi jaminan polis seperti yang saya maklumkan sebelum ini.

"Bagaimanapun, siasatan juga akan menjurus kepada kegiatan-kegiatan kongsi gelap, sama ada mereka ini berada di belakang mereka (pelaku) atau pun sebaliknya.

"Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi-kongsi gelap ke atas sekolah-sekolah tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Rabu.

Kok Chin berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Sebelum ini, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat di sebuah sekolah menengah di Butterworth bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Susulan daripada penahanan mereka, polis merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya berdurasi 24 dan 34 saat tular di media sosial sejak Jumaat lepas.

Dalam kejadian berlainan, lima pelajar tingkatan lima sebuah institusi pendidikan menengah di bawah Mara ditahan untuk membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan pada Khamis lalu.

Kesemua remaja lelaki berusia 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.

Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencederakan orang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - Sinar Harian