Laporan siasatan dalaman oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenai insiden bunga api meletup ketika sambutan ambang tahun baharu 2017 di Klang, dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya akan meneliti syor laporan itu sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan berhubung insiden berkenaan.

"Saya akan bentangkan dalam MMKN dan kita akan teliti apakah syor yang dikemukakan (dalam laporan itu) sebelum kita maklum kepada MPK apa tindakan sewajarnya yang perlu mereka ambil," katanya kepada pemberita selepas menyertai acara berbasikal 'Pulau Indah 180KM Malaysia 2017' di Central Spectrum Sdn Bhd, hari ini.

Dalam kejadian pada 1 Jan pukul 12.05 pagi di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang itu, seramai 14 individu termasuk empat kanak-kanak cedera selepas bunga api yang dipasang menuju ke arah penonton dan meletup.

Pertunjukan bunga api itu diadakan bersempena Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran MPK yang berlangsung dari 30 Dis sehingga 1 Jan lepas di kompleks berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata seorang pegawai MPK yang terlibat dalam insiden tersebut telah diarah bercuti selama sebulan mulai 3 Jan lepas, sementara menunggu keputusan laporan penyiasatan penuh daripada pihak polis.

"MPK juga telah buat kenyataan awal bahawa jabatan dan pihak majlis tidak terlibat dalam insiden ini dan saya pasti siasatan dibuat bukan menjurus pada individu sahaja tetapi secara menyeluruh," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes letupan bunga api itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut setelah siasatan mendapati pertunjukan bunga api itu dilakukan tanpa permit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula cadangan projek pembinaan tanah perkuburan bukan Islam di Kampung Bukit Cerakah, Kuala Selangor, berikutan bantahan penduduk lima buah kampung di daerah itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turun padang bertemu penduduk bagi menyelesaikan segera isu berkenaan.

Rabu lepas, kira-kira 300 penduduk dari lima buah kampung di Kuala Selangor mengadakan bantahan terhadap cadangan projek pembinaan tanah perkuburan itu, berikutan lokasi yang disifatkan tidak sesuai selain berhampiran dengan kediaman penduduk.

Lima kampung yang membantah projek itu ialah Kampung Felda Bukit Cerakah, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kerayong dan Bandar Puncak Alam.

-- BERNAMA