Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kes bunuh peneroka Felda: Suspek ada enam rekod jenayah, polis rampas kapak

Seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan di Felda Lok Heng Selatan dalam kejadian pada jam 7.56 malam, Isnin. -Foto Sinar Harian
Seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan di Felda Lok Heng Selatan dalam kejadian pada jam 7.56 malam, Isnin. -Foto Sinar Harian

Advertisement

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang peneroka berusia 68 tahun di Felda Lok Heng Selatan, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada jam 10.26 pagi, Selasa.

Menurutnya, suspek ditahan di dalam sebuah kebun kelapa sawit di Kota Tinggi.

“Polis turut merampas sebilah kapak dan sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.56 malam, Isnin, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan di Felda Lok Heng Selatan.

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kedua-dua belah lengan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Waha, Kota Tinggi.

Ab Rahaman berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pengerang pada Rabu bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian Hotline Polis Johor di 019-279 2095 dan Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di 07-221 2999. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement