NATIONAL
Kes bunuh Siti Kharina: Suspek ketiga ditahan polis

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan wajah suspek pembunuh Siti Kharina pada sidang media terdahulu hari ini, 16 Mei, 2019. - Astro AWANI
Polis berjaya memberkas seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang hari ini.
Lelaki Nigeria Aliwajuwon Gilbertalowonle yang diburu sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu ditahan di sekitar Cheras Sentral di sini pada lebih kurang jam 3 petang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat, bertindak atas maklumat siasatan, pasukannya telah berjaya mengesan individu itu.
"Pasukan JSJ Selangor telah berjaya mengesan individu lelaki warganegara Nigeria yang dikehendaki untuk membantu siasatan di Lower Ground Floor, Cheras Sentral, Kuala Lumpur.
"Berlaku pergelutan ketika tangkapan dibuat namun akhirnya individu tersebut berjaya ditahan," katanya.
Menurut Fadzil, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok.
Terdahulu, polis menahan dua individu iaitu seorang wanita Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.
Ketua Jururawat, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40 tahun, ditemui mati dibunuh di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya.
Mayat wanita itu ditemui pemilik rumah berkenaan pada Rabu dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.
Siti Kharina, dilapor hilang 8 Mei lepas setelah kali terakhir dilihat di tempat letak kereta Hospital Serdang pada 4 petang.
Siti Kharina dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami