Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kes bunuh warga emas, lelaki berusia 41 tahun ditahan bantu siasatan

Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan lelaki warga emas berusia 68 tahun di Felda Lok Heng Selatan, pagi tadi. - Foto hiasan
Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan lelaki warga emas berusia 68 tahun di Felda Lok Heng Selatan, pagi tadi. - Foto hiasan

Advertisement

KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan lelaki warga emas berusia 68 tahun di Felda Lok Heng Selatan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata suspek ditangkap sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, dalam kebun kelapa sawit di sini pada 10.26 pagi.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah kapak dan sebuah motosikal dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut dan hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan berkaitan jenayah serta dadah.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pengerang esok bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Ab Rahaman berkata pihak polis sebelum itu menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam pada 7.56 malam semalam, berhubung penemuan seorang lelaki warga emas dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan di kawasan Felda berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan luka pada bahagian kepala dan kedua-dua belah lengan, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Waha, Kota Tinggi," katanya.

Beliau turut memaklumkan punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan, justeru orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 serta Bilik Gerakan Kontinjen Johor di 07-2212999.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement