KUALA LUMPUR: Polis masih belum dapat menjejak suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, dan meminta diberikan ruang untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan meliputi semua sudut dan pasukan penyiasat memerlukan masa untuk memproses semua bukti.

"Bagi peluang kepada pihak polis untuk menyiasat kematian Zayn Rayyan.

"Siasatan kita menyeluruh (meliputi) kawasan berdekatan, tempat kejadian, di rumah dan ia menjurus kepada siasatan yang sangat terperinci.

"Polis memang mengambil berat perkara ini dan siasatan masih lagi berjalan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata setakat ini polis melakukan pemeriksaan rumah ke rumah melibatkan 280 buah.

Sepanjang pemeriksaan tersebut, beliau menambah pasukan siasatan belum menemui 'kunci' yang menjurus kepada individu yang bertanggungjawab.

"Laporan juga kita dapatkan daripada (hasil) DNA, dan ramai saksi yang kita telah ambil keterangan," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Razarudin berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada pelaku ialah individu yang tinggal di kawasan tersebut, ataupun orang luar.

Siasatan membabitkan kematian Zayn Rayyan, 6, kini memasuki hari ke-12 dengan tumpuan pihak polis adalah untuk mengumpul bukti baharu bagi mengesan penjenayah.

Sehingga kini, polis telah mengambil keterangan 172 individu termasuk ibu bapa kanak-kanak malang itu, saksi, jiran serta penduduk sekitar.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu dan polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada 6 Disember.