KANGAR: Jumlah kes COVID-19 di Perlis bagi Minggu Epid ke-19 iaitu dari 7 hingga 13 Mei meningkat sebanyak 47 peratus atau 87 kes berbanding minggu sebelumnya.

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) menerusi hantaran dalam Facebook memaklumkan daripada jumlah itu, 83 ialah kes tempatan manakala empat lagi ialah kes import.

"Sebanyak 51 kes (59 peratus) dikesan melalui saringan bergejala, 16 kes (18 peratus) dikesan melalui saringan survelan-sARI, lapan kes (sembilan peratus) dikesan melalui saringan kontak rapat, enam kes (tujuh peratus) dikesan melalui saringan individu disyaki, lima kes (tujuh peratus) saringan survelan-ILI dan satu kes (satu peratus) dikesan melalui saringan prakemasukan hospital," menurut hantaran itu.

JKNPs memberitahu 60 kes (69 peratus) berada di bawah permantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) manakala 27 kes (31 peratus) di bawah pemantauan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Menurut jabatan itu, peningkatan kes didapati berpunca daripada aktiviti perjumpaan keluarga dan sosial sepanjang bulan puasa dan hari raya.

-- BERNAMA