KOTA KINABALU:Kes positif COVID-19 di Sabah yang terus kekal tiga angka sejak beberapa minggu lalu, masih belum berkurang dengan tiga daerah mencatatkan kes tertinggi.

Berbanding dua hari sebelumnya, Tawau kembali merekodkan tiga angka dengan 107 kes, bersama dua lagi daerah lain iaitu Kota Kinabalu dengan 183 kes dan Sandakan 120 kes.

Kes kematian turut direkodkan di ketiga-tiga daerah terbabit sejak tiga hari lalu dengan tiga kes kematian dicatatkan di Sandakan manakala satu kes masing-masing di Kota Kinabalu dan Tawau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata terdapat dua kluster baharu yang turut melibatkan Kota Kinabalu serta terdapat penukaran zon kuning kepada jingga melibatkan dua daerah lain.

"Hari ini terdapat dua kluster baharu iaitu Kluster Sutera di Kota Kinabalu sebanyak 15 kes dengan Kluster Ria-30 di Tuaran sebanyak sembilan kes.

"Berbanding semalam daerah Sandakan mencatatkan sebanyak 120 kes pada hari ini dan daripada jumlah tersebut, 73 kes adalah daripada Kluster Penjara Sandakan.

"Susulan peningkatan kes saringan dua daerah iaitu Kinabatangan dan Ranau telah bertukar ke warna jingga pada hari ini," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurutnya lagi, berlaku penurunan sebanyak 82 kes dan menjadikan jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 564 kes berbanding 646 kes yang direkodkan pada Rabu.

"Pada hari ini, seramai 473 pesakit COVID-19 telah discaj atau sembuh dari hospital. 

"Manakala seramai 3,257 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 734 orang di hospital dan 2,523 orang di PKRC dengan bilangan pesakit di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) seramai 69 orang dan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan," jelasnya.