Namun katanya di sebalik isu berkenaan, ia tidak bermakna mereka perlu disisihkan masyarakat, sebaliknya, rakyat perlu membantu mengurangkan penularan COVID-19 di Malaysia.
"Peningkatan kes ini dapat dilihat secara ketara mulai 29 April 2020. Ini adalah disebabkan oleh kes import dari luar negara, penularan kes COVID-19 di kalangan bukan warganegara di beberapa Depot Tahanan Imigresen, dan juga di kalangan pekerja bukan warganegara pelbagai sektor di dalam komuniti.
"Ini bermakna negara kini berdepan dengan satu cabaran baharu yang perlu kita tangani bersama, iaitu peningkatan kes COVID-19 di kalangan bukan warganegara. Namun golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.
Tambahnya, pergaulan rakyat Malaysia dengan golongan bukan warganegara sememangnya terhad, namun kehadiran mereka terutamanya pekerja bukan warganegara turut membantu dalam memperkasa ekonomi di negara kita.
"Sewajarnya, kita perlu mengenal pasti dan mencari cara penyelesaian bagi menangani isu penularan COVID-19 di kalangan mereka ini," kata beliau lagi.
Justeru pendekatan seluruh jentara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga masyarakat adalah diperlukan agar isu ini dapat ditangani secara menyeluruh.
"Ia termasuk selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan ianya tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.
"Pekerja bukan warganegara terutama dalam sektor pembinaan dan keselamatan di semua Zon Merah wajib disaring untuk COVID-19 seperti yang diarahkan kerajaan," ujarnya lagi.
Selain itu, pekerja bukan warganegara dari Zon Kuning dan Zon Hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing.
Pihak kedutaan bagi negara pekerja bukan warganegara dan lain-lain badan bukan kerajaan (NGO) juga diseru bekerjasama bagi memastikan kaedah komunikasi yang berkesan dan terbaik dapat digunakan bagi berkomunikasi dengan golongan bukan warganegara.
"Ini untuk menyampaikan situasi dan keadaan semasa berkaitan COVID-19 serta garis panduan yang perlu dipatuhi secara langsung kepada golongan bukan warganegara dan para majikan pula bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pekerja bukan warganegara masing-masing tentang amalan kebersihan yang disarankan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19," katanya.
Justeru, KKM menyeru kerjasama semua pihak bagi memastikan kes harian COVID-19 di Malaysia tidak terus meningkat sama ada di kalangan warganegara Malaysia atau bukan warganegara.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bukan sahaja rakyat Malaysia, malah pekerja warganegara asing juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi memastikan rantaian COVID-19 di negara ini putus sepenuhnya.
Berdasarkan jumlah kes dan unjuran dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rakyat Malaysia sememangnya patuh kepada SOP.
“Kita kena lihat dua, kita kena sama-sama kekalkan kepatuhan kepada SOP, rakyat Malaysia dan pekerja warga asing dalam negara kita, mereka juga kena patuh kepada SOP. Barulah kita boleh putuskan rantaian COVID-19 di negara kita.
“Kalau tidak, rakyat Malaysia tak terlibat tapi bukan warganegara dan pekarja asing terlibat. Jadi kita tidak dapat putuskan. Kita kena lihat kedua-duanya untuk menurunkan jangkitan COVID-19 dalam negara kita,” katanya lagi.
Untuk rekod, setakat 1 Jun 2020, jumlah saringan COVID-19 melibatkan bukan warganegara adalah sebanyak 35,811 kes dan daripada jumlah itu 2,014 kes adalah positif.
Manakala, 33,474 kes adalah negatif dan 323 masih menunggu keputusan.