SHAH ALAM: Kes baharu COVID-19 di negara ini naik kepada 2,063 kes dengan empat daripadanya merupakan kes import pada Selasa berbanding 1,486 kes pada Isnin.

Begitu juga dengan jumlah kematian harian yang dilaporkan meningkat kepada enam kematian berbanding empat kes direkodkan pada hari sebelumnya.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal COVIDNOW, sebanyak enam kes kematian baharu akibat COVID-19 dicatatkan dengan satu daripadanya adalah kes di luar fasiliti hospital atau brought-in-dead (BID).

Angka itu menjadikan jumlah kematian dalam negara kini sebanyak 36,255 kes.

Sementara itu, kes aktif COVID-19 pula mencatatkan sebanyak 27,328 kes dengan 25,963 atau 95 peratus daripadanya merupakan individu dikuarantin di rumah.

Seramai 19 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 1,277 pesakit COVID-19 ditempatkan di hospital dengan 69 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, 40 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 29 lagi memerlukan mesin ventilator.

Kes sembuh yang direkodkan pada Selasa ialah 2,279 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh wabak tersebut dalam negara kepada 4,731,426 kes. - Sinar Harian