PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 3,781 kes pada Minggu Epidemiologi ke-04 (ME04) 2024 iaitu bagi tempoh 21 hingga 27 Jan lepas berbanding 3,971 kes pada minggu sebelumnya, dengan tujuh kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME04 ialah sebanyak 14,458 kes berbanding 8,968 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata terdapat sembilan kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding empat kematian bagi tempoh yang sama pada 2023.

"Bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME04 adalah sebanyak 148 lokaliti berbanding 127 pada minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Muhammad Radzi daripada 148 lokaliti itu, sebanyak 124 ialah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (14), Negeri Sembilan (lima), Perak (tiga) manakala masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang dan Sabah.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME04 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah dua kes manakala bagi survelan zika, sebanyak 149 sampel darah telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Beliau menyeru komuniti setempat supaya menyahut seruan Program 'One Hour Malaysia Clean Up' yang dilaksanakan setiap Sabtu minggu keempat setiap bulan sebagai usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk Aedes dan melibatkan diri dalam aktiviti Kutip Sampah Sambil Beriadah (KUDAH) bersama ahli keluarga.

Aktiviti seumpama itu, katanya dapat menyihatkan badan dan menyegarkan minda serta secara tidak langsung mendorong orang ramai supaya melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara, bersih dan bebas daripada tempat pembiakan Aedes.

-- BERNAMA