Semua pihak harus menghormati keputusan yang dicapai oleh Mahkamah Persekutuan berhubung kes penukaran agama tiga anak guru Tadika M. Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau akui terdapat perbezaan pendapat di pihak-pihak tertentu, dan sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun akhirnya mereka perlu akur dengan sistem kehakiman negara.

“Ada berbeza pendapat, tapi kita anggap itu sebagai, kita hormati, kita ada sistem kehakiman dalam negara, jadi kita kena terima keputusan oleh Mahkamah tertinggi dalam negara kita,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan panel lima hakim, yang disidangi Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali itu dibuat demi kepentingan bersama semua pihak.

BACA: Penghakiman bersejarah: Persetujuan kedua ibu bapa perlu bagi penukaran agama anak kepada Islam

Zulkefli yang mengetuai panel itu berkata keputusan tersebut dicapai sebulat suara sambil berkata walaupun penukaran agama adalah isu yang menimbulkan perbalahan, namun keputusan mahkamah tidak dipengaruhi oleh kepercayaan agama.