KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, beliau akan terus menjalankan tugas buat sementara waktu sehingga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pulang untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Beliau berkata, peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa pada hari Najib dibebaskan dari Penjara Kajang.
“Sampai Najib dibebaskan, balik rumah, hari itu maka berkuat kuasalah peletakan jawatan saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Maritime Week (MMW) 2026 di ibu negara, pada Selasa.
Anthony juga memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Anwar dalam pertemuan semalam.
Menurutnya, dalam perbincangan itu, Anwar menasihatkannya supaya meneruskan tugas buat sementara waktu.
“Dalam perbincangan tersebut, beliau menasihati saya untuk meneruskan tugas saya buat sementara waktu.
“Beliau akan membuat keputusan, tetapi saya katakan bahawa perlu juga ada satu tempoh masa,” katanya lagi.
Mengulas mengenai penggantinya sebagai Menteri Pengangkutan, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan.
Menurut Anthony, keputusan untuk beliau meletakkan jawatan dibuat berdasarkan pendirian DAP berhubung isu tahanan rumah Najib.
“Seperti yang saya katakan, perbincangan saya dengan Perdana Menteri adalah mengenai alasan dan mengapa saya meletakkan jawatan. Ini adalah keputusan parti.
“Keputusan parti dibuat berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak setuju,” ujarnya.
Pada 19 September lalu, Anthony menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Beliau juga dilapor berkata akan menyerahkan surat peletakan jawatan itu sekembalinya ke tanah air dari China.