Kes Influenza meningkat, sekolah paling terkesan - KKM

KKM memaklumkan, terdapat peningkatan terhadap jumlah kes Influenza di Malaysia setakat ini, namun berada di paras sedikit kurang berbanding jumlah tahun lepas. - Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, terdapat peningkatan kes jangkitan influenza di seluruh negara, khususnya melibatkan institusi pendidikan.
Ringkasan AI
- Kes influenza meningkat kepada 9.22%, lebih 530 kluster direkodkan tahun ini. Sekolah paling terkesan, merangkumi lebih 65% daripada jumlah kluster. KKM beri jaminan bekalan vaksin dan ubat antiviral mencukupi, pemantauan diteruskan bersama WHO.
Secara kumulatif, sejak awal tahun hingga ME ke-41, lebih 530 kluster influenza direkodkan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sekolah mencatatkan bilangan tertinggi dengan 352 kluster atau 65.8 peratus, diikuti tadika, institusi pengajian dan rumah persendirian.
Angka kluster di sekolah juga meningkat mendadak daripada hanya 8 kluster pada ME ke-39, kepada 202 kluster pada ME ke-41, sebelum menurun kepada 56 kluster pada minggu semasa.
“Walaupun menunjukkan sedikit penurunan, aktiviti penularan masih berterusan dan memerlukan pemantauan rapi,” kata kenyataan itu lagi.
Bagi mengekang penularan penyakit, KKM menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak bergejala ke sekolah, sebaliknya segera mendapatkan rawatan jika simptom semakin teruk.
“Langkah awal ini penting untuk mengelakkan penularan dalam kalangan pelajar lain,” tegas KKM.
Guru pula disaran untuk memperkukuh pendidikan kesihatan di sekolah, menggalakkan pemakaian pelitup muka, dan membuat pelaporan awal kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) jika terdapat tanda-tanda jangkitan.
Dalam masa sama, KKM memberi jaminan bahawa kapasiti fasiliti kesihatan berada pada tahap optimum, termasuk penyediaan fever centre, laluan khas pesakit berjangkit, serta bekalan ubat antiviral Oseltamivir yang mencukupi.
“Bekalan vaksin influenza juga mencukupi bagi menampung keperluan semasa, terutama untuk warga emas, pesakit kronik dan petugas barisan hadapan,” tambah KKM.
KKM turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan jangkitan influenza di dalam dan luar negara dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta agensi kesihatan serantau.
“Langkah pencegahan dan kawalan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan penularan dapat ditangani dengan kadar segera dan berkesan,” ujar KKM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami