KUALA LUMPUR: Tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng, Johor, perlu menjadi titik tolak kepada pelaksanaan reformasi keselamatan menyeluruh di seluruh institusi pendidikan negara.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid menegaskan, sekolah sewajarnya berfungsi sebagai zon paling selamat dan aspek perlindungan pelajar tidak boleh dikompromi sama sekali, khususnya di luar waktu persekolahan rasmi seperti kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum.
Sehubungan itu, Armada menggariskan tiga tuntutan segera kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
"KPM wajib memastikan setiap sekolah dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi sepenuhnya, khusus di kawasan sunyi dan titik buta (blind spots).
"Selain itu, KPM perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewajibkan semua pelajar menghadiri seminar kesedaran jenayah secara berkala bagi mendidik mereka mengenai implikasi perundangan dan kaedah pelaporan awal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam masa sama, Armada menuntut pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan mewajibkan sistem log kehadiran yang ketat bagi aktiviti luar waktu persekolahan formal agar tiada pelajar dibiarkan tanpa pengawasan guru bertugas atau pengawal keselamatan.
Mengulas mengenai tindakan undang-undang, Harris menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan telus pihak polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh bagi membela nasib Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
"Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat negara memandangkan Allahyarhamah ialah calon pelajar cemerlang SPM yang beraspirasi menabur bakti dalam bidang kesihatan awam.
"Kami menuntut keadilan ditegakkan tanpa kompromi demi membela nasib Allahyarhamah. Keselamatan anak-anak kita adalah maruah masa depan negara," ujarnya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
Terdahulu, mangsa berusia 16 tahun itu ditemukan dalam keadaan lemah, sebelum meninggal dunia di kawasan dewan sekolah berkenaan pada petang Sabtu ketika hadir bagi sesi kelas bimbingan.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan dikenakan perintah reman selama enam hari bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.