KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan ke 27 Ogos susulan masalah kesihatan yang dihadapi beliau.
Peguam bela beliau, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, meskipun pihak pendakwaan telah mendaftarkan pertuduhan, namun ia tidak dapat dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan susulan anak guamnya itu kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau berkata, Ismail Sabri dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.
Terdahulu, beliau dijangka didakwa di mahkamah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu akan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi.
Kes terhadap Ismail Sabri dipercayai berhubung pengisytiharan harta.
Sebelum ini, beliau beberapa kali dipanggil bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.