MALAYSIA
Kes jenayah babit kanak-kanak, wanita di Kedah meningkat - Saifuddin

Saifuddin Nasution berkata berbanding 2024, purata kes melibatkan golongan itu khususnya sebagai mangsa dan saksi yang direkodkan setiap bulan hanya 16 kes. - Gambar fail
ALOR SETAR: Statistik kes jenayah yang membabitkan wanita dan kanak-kanak di Kedah mencatatkan peningkatan apabila purata 42 kes dilaporkan setiap bulan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ringkasan AI
- Statistik jenayah melibatkan wanita dan kanak-kanak di Kedah meningkat kepada purata 42 kes sebulan dalam enam bulan pertama 2025 berbanding hanya 16 kes sebulan pada 2024, dengan 75 peratus mangsa jenayah seksual terdiri daripada kanak-kanak bawah 18 tahun.
- Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menyatakan cabaran utama siasatan kes melibatkan kanak-kanak sebagai saksi ialah mendapatkan keterangan menyokong, yang menjadi peranan penting Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) dalam melengkapkan siasatan.
- CIC berfungsi dengan kepakaran dalam bidang psikologi, kaunseling dan trauma, dan kini terdapat 31 pusat di seluruh negara termasuk dua di Kedah, dengan KDN komited menyokong peranan CIC dalam menangani jenayah terhadap kanak-kanak.
"(Dan) Jenayah seksual pula, kalau dari segi mangsanya, kalau kayu ukurnya adalah mereka di bawah 18 tahun, mereka ini (kanak-kanak) mewakili hingga 75 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setiap tahun," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman.
Saifuddin Nasution berkata jika kes jenayah melibatkan kanak-kanak sebagai saksi, misalnya cabaran terbesar kepada siasatan polis adalah untuk membina bukti.
"Selain daripada pegawai penyiasat membuka kertas siasatan, komponen siasatan itu mesti dilengkapkan dengan corroborative evidence (keterangan menyokong). Jadi fungsi corroborative evidence itu yang dikendalikan oleh CIC," katanya.
Tugas di CIC dianggap unik kerana ia berbeza dengan proses penyiasatan yang lazim dilakukan oleh pihak polis terhadap kes-kes lain.
"Kepakaran yang ada pada CIC ini ialah kepakaran pegawai polis kita yang berlatarbelakangkan cabang psikologi dan kelulusan profesional lain yang sejenis. Kelompok ini kena ada kemahiran kaunseling, psikologis, trauma dan sebagainya.
"Di seluruh negara buat masa ini kita mempunyai 31 CIC dan di Kedah ini satu daripada dua yang kita sudah wujudkan dan semakin masa bergerak, CIC membina kepakaran serta membentuk kompetensi mereka sendiri," katanya.
KDN akan sentiasa melihat keperluan dan menyokong penuh CIC kerana ia satu unit atau bahagian yang sangat penting dalam menangani kes jenayah melibatkan kanak-kanak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami