MALAYSIA
EU iktiraf MSPO sebagai piawaian diyakini bagi pematuhan EUDR - Johari

Menurut Johari, pengiktirafan EU itu juga menekankan kredibiliti MSPO sebagai satu piawaian yang diyakini dan bersedia untuk masa hadapan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai piawaian kemampanan yang boleh dipercayai dengan sistem kebolehkesanan digital berstandard tinggi yang dapat membantu pengendali mematuhi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
Ringkasan AI
- EU secara rasmi iktiraf pensijilan MSPO sebagai piawaian kemampanan yang dipercayai, dengan sistem kebolehkesanan digital berstandard tinggi yang menyokong pematuhan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
- MSPO pastikan minyak sawit Malaysia sah, boleh dijejaki dan mampan, melibatkan lebih 500,000 pekebun kecil serta mematuhi tarikh penetapan bebas penebangan hutan (31 Disember 2019).
- Pengiktirafan ini kukuhkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan global mampan, memberi keyakinan kepada pembeli antarabangsa dan menyokong keterangkuman, ketelusan serta akauntabiliti rantaian bekalan.
"Ia memberi jaminan kepada pembeli global bahawa minyak sawit Malaysia diperoleh secara sah, boleh dijejaki dan mampan, berteraskan mata pencarian pekebun kecil serta disokong oleh rangka kerja nasional yang mandatori," katanya dalam satu kenyataan.
Pengiktirafan itu telah dimuktamadkan dalam kenyataan bersama EU-Malaysia bertajuk "EU dan Malaysia Bersetuju Memperkukuh Perkongsian dan Meneruskan Usaha Bersama Menangani Penebangan Hutan," yang dikeluarkan susulan lawatan Pesuruhjaya Eropah bagi Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Kitaran Berdaya Saing, Jessika Roswall ke Malaysia pada 5 Ogos, 2025.
Pensijilan MSPO yang diaudit oleh badan pihak ketiga yang bebas, merupakan piawaian mandatori yang merangkumi seluruh rantaian nilai minyak sawit, daripada pekebun kecil dan penanam hinggalah kepada kilang, peniaga dan pemproses.
Memandangkan keperluan kemampanan global yang semakin ketat, pensijilan ini menawarkan rangka kerja yang kukuh dan boleh diskalakan untuk penyumberan yang bertanggungjawab. Dengan menggabungkan aspek perundangan, tarikh penetapan bebas penebangan hutan yang ketat dan kebolehkesanan lanjutan, MSPO menyokong pematuhan pengendali terhadap EUDR dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam perdagangan global yang mampan, kata MSPO.
Ia juga memastikan aspek perundangan, ketelusan, keterangkuman dan akauntabiliti di setiap peringkat, menyelaraskan pengeluaran dengan keperluan pasaran antarabangsa dan menjamin integriti dan kredibiliti.
"Berteraskan tarikh penetapan ketat pada 31 Disember, 2019 yang melarang sebarang penebangan hutan bagi tujuan pensijilan, MSPO memberi keyakinan kepada pembeli dan pengawal selia bahawa minyak sawit yang diperakui diperoleh secara sah dan bebas daripada penebangan hutan.
"Dengan sistem kebolehkesanan digital berstandard tinggi, MSPO membolehkan keterlihatan penuh rantaian bekalan dan mengukuhkan kepercayaan dalam kalangan pemegang kepentingan global," tambahnya.
MSPO merupakan badan yang disokong kerajaan, ditubuhkan untuk melaksanakan dan menyelia Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami