GUA MUSANG: Kes jenayah melibatkan Orang Asli Kelantan berada dalam kategori kelompok terpencil memandangkan hanya 10 kes yang direkodkan bermula pada 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hanya tiga kes jenayah yang dicatatkan pada 2020 iaitu ugutan bunuh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kesalahan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, kes narkotik turut menyumbang kepada jumlah kes terbabit selain pelbagai kesalahan yang dilaporkan.

"Pada 2021, terdapat hanya lima kes iaitu masing-masing dua untuk Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 378B Kanun Keseksaan serta satu kes untuk Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Pada 2022, hanya dua kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Community Policing Ketua Polis Kelantan Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata tiada kes jenayah dilaporkan membabitkan Orang Asli pada tahun ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata pihaknya berusaha mendekati masyarakat yang terdiri daripada suku kaum Mendriq dan Bateq termasuk mendidik ibu bapa supaya lebih cakna dalam menjaga keberadaan anak-anak mereka.

"Contohnya, kita tengok kes seksual, sumbang mahram dan sebagainya dan kita percaya sesetengah mangsa ini tidak mengetahui apa itu sumbang mahram, jenayah seksual.

"Kami sentiasa mengawal dan berhubung dengan penduduk Orang Asli terutama Tok Batin, juga turut mendengar dan memberi nasihat dalam menangani jenayah dari semasa ke semasa," katanya.

Selain itu, beliau juga berpuas hati dengan tahap keselamatan penduduk Orang Asli di negeri ini, malah berharap hubungan antara penduduk dengan polis kekal erat.

Katanya, bakul makanan turut disumbangkan kepada 110 ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di Kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang.

-- BERNAMA