MALAYSIA
Kes langgar mati tiga penuntut UiTM: Pemandu wanita dibenarkan ikat jamin

Selain mempunyai temu janji di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Norizan juga sedang mendapatkan rawatan alternatif. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pemandu wanita yang didakwa atas pertuduhan membunuh tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan pada 9 Okt tahun lepas diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan jaminan RM40,000 kepada Norizan Ismail, wanita yang didakwa membunuh tiga pelajar UiTM Dungun dalam kemalangan pada 9 Oktober 2024, selepas hakim menerima hujah bahawa pelanggaran itu tidak disengajakan.
- Syarat jaminan ketat dikenakan, termasuk larangan memandu, perlu melapor diri dua bulan sekali, hanya keluar rumah ditemani suami, serta tidak mengganggu saksi dan wajib mendapatkan rawatan hospital.
- Tertuduh berdepan lima pertuduhan, tiga di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh), satu di bawah Seksyen 307 (cubaan bunuh), dan telah disahkan layak dibicarakan selepas penilaian psikiatri.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bagi jaminan tersebut iaitu tertuduh perlu melapor diri dua bulan sekali di Balai Polis Dungun; tertuduh tidak dibenarkan memandu sebarang kenderaan (kereta, motosikal dan basikal) dan penjamin atau suami tertuduh hendaklah memastikan kunci kenderaan tidak boleh diakses atau memberi kunci kenderaan kepada tertuduh.
Syarat lain ialah tertuduh tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan kehadiran suaminya; tertuduh hendaklah mendapatkan rawatan di hospital berkaitan dan tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi yang terlibat dalam kes ini.
Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan, jaminan akan terbatal secara automatik dan wang jaminan akan dirampas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin namun beliau memohon agar permohonan jaminan ke atas tertuduh ditolak atas alasan mahkamah perlu mengambil kira kemungkinan berlaku kesalahan lain.
Sementara itu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh yang mewakili tertuduh memaklumkan bahawa selain mempunyai temu janji di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Norizan juga sedang mendapatkan rawatan alternatif.
Pada 15 Okt 2024, Norizan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Muhammad Akmal Md Tukirim, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dia juga didakwa cuba membunuh Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, sehingga menyebabkan mangsa cedera mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, mahkamah memutuskan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri dan keputusan laporan menunjukkan dia boleh dibicarakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami