MANJUNG: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang yang mengeluarkan kata-kata ugutan seperti tular dalam video di Facebook hari ini, akan dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata sebelum ini kertas siasatan telah dihantar pada 25 Julai lepas namun terdapat beberapa arahan lanjut yang perlu dilengkapkan.

"Suspek sebelum ini telah ditahan pada 21 Jun lepas kira-kira 2.20 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Manjung di perkarangan IPD Manjung bagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Ini ekoran laporan polis yang dibuat oleh ibu saudara suspek pada 9 April lepas berpunca kerana suspek mendakwa tanah di tempat kejadian adalah miliknya sedangkan di dalam akuan geran tanah tidak terdapat namanya," katanya dalam kenyataan.

Nor Omar berkata lelaki berusia 50-an itu dipercayai datang ke kawasan tanah hak milik ibu saudaranya itu di Manjung membawa sebilah parang dan tong disyaki berisi minyak petrol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan mahu melibas kepala serta memenggal kepala pengadu dengan parang selain akan membakar rumah yang sedang dibina oleh pemilik tanah.

"Suspek yang bekerja sendiri didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mengakui telah mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah tersebut kepada pengadu sambil memegang sebilah parang kerana tidak berpuas hati berkenaan pemilikan tanah tersebut," tambahnya.

Dilapor, sebuah video berdurasi satu minit 42 saat yang dimuat naik kira-kira 9.30 pagi tadi oleh pemilik akaun Facebook 'Kongsi Segala Info' memaparkan kejadian dipercayai seorang lelaki sambil memegang sebilah parang dalam keadaan marah dan mengeluarkan kata-kata ugutan.

-- BERNAMA