Sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masuk hari keempat hari ini selepas ditangguhkan semalam.

Hari ini tiba giliran pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk membentangkan pula hujahan mereka selepas pasukan pembelaan selesai merumuskan hujahan mereka pada Khamis.

Muhammad Shafee hari ini akan memulakan sesi dengan pembentangan hujah yang menyentuh pelbagai persoalan berdasarkan fakta kes.

Bagi isu yang melibatkan hal DNA dan huraian teknikal, Muhammad Shafee akan menyampaikan hujahnya pada hari Isnin.

KRONOLOGI KES LIWAT II DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Shafee Abdullah
Tiba giliran pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) untuk membentangkan pula hujahan mereka - Astro AWANI /SHAHIR OMAR

Semalam, beliau memohon untuk menganjak sesi pembentangan kerana memerlukan lebih masa untuk mengemas kini hujah memandangkan pihak pembela terlambat untuk memberikan hujah bertulis kepada pihak pendakwa.

Berikut adalah perkembangan yang berlangsung:

12.40 tengah hari: Anwar sempat berlari-lari anak ke pekarangan mahkamah untuk bertemu penyokongnya. Anwar meyakinkan mereka bahawa segala yang dihujah oleh Shafee adalah ulangan manipulasi dan fitnah serta ia meminta penyokongnya terus bersama dan berdoa supaya beliau dibebaskan.

12.15 tengah hari: Hakim Tun Ariffin menangguhkan prosiding sehingga ke hari Isnin. Ia akan berlangsung selama setengah hari dan disambung pula ke Selasa iaitu sepenuh hari.

12.10 tengah hari: Shafee kemudian menekankan bahawa Jude tidak terlibat dalam mengganggu bahan bukti seperti yang didakwa selain menambah pegawai kanan polis itu turut memastikan spesimen berkenaan disimpan di dalam bilik yang berhawa dingin.

11.30 pagi: Shafee menambah, perbuatan Jude tidak menjejaskan keadaan spesimen tidak dan hal itu disahkan oleh Dr. Seah dari HKL yang menerimanya pada 30 Jun.

Kata Shafee, sampel Anwar pula dihantar pada 17 Julai dan diterima oleh ahli kimia Noraidora Saedon.

Hal itu sekali gus menafikan kemungkinan sampel spermatozoa Anwar diambil dan diletakkan pada bahan bukti kerana ia berlaku pada tarikh, masa dan tempat berbeza.

11.15 pagi: Shafee memberitahu mahkamah, kesemua spesimen yang diambil daripada Saiful dari Hospital Kuala Lumpur telah ditutup dan dibalut serta ditandatangani Dr. Seaw Shueu Feng dan Saiful sendiri.

Hanya bungkusan plastik besar yang menampung kesemua spesimen itu dibuka oleh Supt. Jude Pereira, kerana mengikut prosedur, setiap satu spesimen tersebut perlu dibalut dan dilabel secara berasingan. Tiada kandungan spesimen yang dibuka, diambil atau terjejas.

11.10 pagi: Pendengaran disambung semula dan Shafee menerangkan tentang cara bungkusan itu dikedap dan ditanda, bagi menjawab dakwaan peguambela mengenai kandungan spesimen yang terjejas.

10.45 pagi: Hakim Tun Ariffin Zakaria meminta sesi pendengaran berehat sebentar.

10.40 pagi: Shafee seterusnya menyentuh tentang spesimen bahan bukti dalam bungkusan yang didakwa peguambela telah dibuka dan diganggu kandungannya. Contoh bungkusan itu juga dibawa dan ditunjuk kepada sidang mahkamah.

10:30 pagi: Shafee memberitahu berdasarkan banyak kes seksual yang melibatkan individu berpengaruh dan berdaya pujuk, mangsa akan mengalami sindrom di mana dia marah, mahu melarikan diri tapi tidak mampu berbuat demikian. Memetik testimoni Saiful, dia berasa takut.

10.25 pagi: Shafee membacakan semula turutan pengakuan Saiful dan kronologi perlakuan liwat di tempat kejadian, diikuti cara Anwar memujuknya kemudiannya dengan bercakap soal agama, pahala dan dosa.

10.20 pagi: Menjawab mengenai hujah peguambela yang mempertikai percanggahan kenyataan Mohd Saiful tentang tempoh masa perlakuan liwat, Muhammad Shafee membalas, dengan memetik pengakuan pengadu, 5 minit adalah masa yang dianggarkan sewaktu aksi fizikal liwat itu terjadi, manakala lebih kurang 20 minit adalah merujuk kepada masa dia berada bersama Anwar dalam bilik tempat perlakuan itu terjadi.

10.10 pagi: Muhammad Shafee berhujah, atas sebab sanjungan yang tinggi diberikan kepada seorang majikan yang dominan daripada seorang 'budak suruhan' yang diberi pelbagai keistimewaan, sanjungan itu boleh bertukar menjadi rasa takut. Atas sebab itu, Mohd. Saiful telah dipergunakan.

10.00 pagi: Menurut Muhammad Shafee, semua keistimewaan yang diberi kepada Saiful itu adalah petanda mengenai hubungan yang cuba dibina oleh Anwar. Namun, Muhammad Shafee menimbulkan persoalan, dengan segala kelebihan itu, mengapakah Saiful menghantar surat berhenti kerja selepas lebih kurang 4 bulan bekerja, sedangkan sebelum itu dia pernah mengatakan dia menghormati dan menyanjungi Anwar.

9.50 pagi: Muhammad Shafee berhujah tentang isu pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai dan kurang berpendidikan.

Shafee berkata, jika benar seperti yang dikatakan, mengapakah ketika menjadi pembantu peribadi Anwar, Saiful memegang tanggungjawab besar seperti membantu penyediaan dokumen rasmi, menjaga temu janji dengan orang kenamaan, menyimpan maklumat rahsia, menyertai urusan luar negara dan memegang telefon bimbit Anwar. Saiful juga diberi elaun yang besar ketika berurusan di luar negara.

9.35 pagi: Shafee berkata, dalam usaha pihak pembelaan cuba menghidupkan sentimen konspirasi, banyak tuduhan dilemparkan pada rangkaian individu, daripada Perdana Menteri (sekarang dan terdahulu), doktor, pakar kimia hinggalah ke pegawai polis.

9.20 pagi: Muhammad Shafee menyatakan bahawa hujah pembelaan Anwar banyak diselubungi idea tentang 'konspirasi' dari peringkat tinggi negara hingga ke pegawai kanan polis. Beliau yang menyifatkannya sebagai pertuduhan liar akan menghuraikan analisa berdasarkan fakta.

9.17 pagi: Barisan lima panel hakim masuk ke kamar mahkamah. Pendengaran penghujahan pihak pendakwa bermula.

9.00 pagi: Anwar tiba di kamar mahkamah. Selepas menyapa kenalan terdekat di galeri awam, beliau berbincang sesuatu dengan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Anwar Ibrahim
Kelihatan Anwar tiba di mahkamah pagi ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

BERITA LANJUT MENYUSUL