KUALA LUMPUR: Tuduhan tanpa kehadiran menjadi pilihan terakhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan ke mahkamah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata agensi berkenaan yakin individu tersebut masih boleh dikesan atau pulang ke Malaysia.  

“Memang kita sekarang ini telah keluarkan waran tangkap kepada dia, kita belum memutuskan tuduh tanpa kehadiran.

“Ia boleh dibuat tetapi itu merupakan pilihan terakhir kerana saya percaya dia boleh dikesan atau masih boleh balik Malaysia untuk menghadapi pertuduhan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Baru-baru ini, Azam dilaporkan sebagai berkata, SPRM akan membuat semakan notis merah terhadap Muhammad Adlan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap individu itu dan peguamnya Mansoor Saat pada Oktober tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.