KUALA LUMPUR : Penubuhan jawatankuasa khas siasatan semula kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, disifatkan memberi harapan keadilan buat keluarga dan warga perkhidmatan awam.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat, keputusan penubuhan jawatankuasa tersebut dapat memastikan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan.

Ini sekali gus memberi pembelaan sewajarnya buat Allahyarham Muhammad Adib.

"Keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah sejajar dengan hasrat Cuepacs serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian arwah Muhammad Adib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.

"Sudah tentu harapan kami semua tidak pernah padam dalam memastikan usaha mencari keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.

"Kes yang melibatkan arwah Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Siasatan | Kabinet putuskan fokus tiga kes berkepentingan

Beliau dalam masa sama berharap tempoh enam bulan yang diberikan kepada anggota jawatankuasa itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyelesaikan sebarang persoalan yang membelenggu kes kematian Allahyarham.

"Dapatan daripada siasatan kes ini perlu dimaklumkan kepada umum bagi menjamin ketelusan siasatan. Cuepacs menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutama melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara," jelasnya lagi.

BACA: Kabinet setuju tubuh jawatankuasa khas siasat kes kematian Muhammad Adib - PM

Beliau dalam masa sama berharap isu tersebut tidak disensasikan dengan dijadikan modal politik atau perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.

"Sebaliknya fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah yang terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang," ujar Adnan.

Terdahulu, Mesyuarat Kabinet pada Jumaat memutuskan akan memfokuskan kepada siasatan tiga kes berkepentingan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tiga kes berkenaan ialah kematian Muhammad Adib, semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.