MALAYSIA
Kes Najib: Arahan pemindahan Azlin bukan atas kapasiti sebagai pemegang amanah YR1M - Saksi

Saman difailkan pada 2022 itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah, menerima dana dengan pengetahuan, tort salah laku dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana SRC International. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa arahan daripada bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk memindahkan RM27 juta dan RM5 juta ke dalam dua akaun bank, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai seorang daripada pemegang amanah yayasan itu.
Ringkasan AI
- Ung Su Ling, bekas CEO YR1M, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa arahan memindahkan RM27 juta dan RM5 juta ke akaun milik Najib Razak adalah permintaan peribadi daripada Allahyarham Datuk Azlin Alias, bukan atas kapasiti rasmi sebagai pemegang amanah yayasan.
- Ung mengesahkan tiada minit mesyuarat atau mandat bertulis daripada Lembaga Pengarah YR1M berhubung pemindahan dana tersebut, dan beliau tidak mempersoalkan arahan kerana ia datang daripada pihak atasan.
- Perbicaraan saman sivil SRC International terhadap Najib berjumlah RM42 juta bersambung pada 6 Oktober, dengan dakwaan melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana.
Muhammad Farhan turut menyoal saksi sama ada terdapat minit mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) YR1M atau mandat bertulis daripada BOD yang mengarahkan pemindahan dana ke dua akaun terbabit, dan Ung menjawab "tidak".
Muhammad Farhan: Setakat ini, anda tidak bertanya atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai dua transaksi itu?
Ung: Ya. Saya tidak biasa mempersoalkan keputusan para pemegang amanah terhadap arahan yang diberikan, kerana maklumat yang diberikan sudah memadai.
Muhammad Farhan: Baik, saya hentikan anda di situ. Anda tadi menyebut bahawa anda tidak akan mempersoalkan kebijaksanaan pemegang amanah, tetapi itu hanya terpakai sekiranya arahan terbabit dibuat atas kapasiti mereka sebagai pemegang amanah. Sedangkan anda sendiri baru nyatakan ia adalah permintaan peribadi.
Ung: Memandangkan ia melibatkan individu yang sama, anda tidak akan mempersoalkan arahan daripada pihak atasan, betul? Ini adalah Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak berhasrat untuk mempersoalkan mengenai sebab, siapa atau bagaimana perkara itu berlaku.
Dalam prosiding sebelum ini, Ung memberitahu mahkamah bahawa Azlin menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp pada Disember 2014 supaya beliau mengarahkan pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Seri Shamsul Anwar Sulaiman untuk memindahkan RM27 juta ke akaun AmIslamic atas nama "AmPrivate Banking -- 1MY" (Akaun 880) dan RM5 juta ke akaun AmIslamic atas nama "AmPrivate Banking -- MY" (Akaun 906).
Semasa perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib, kedua-dua akaun berkenaan telah dibuktikan sebagai miliknya (Najib).
Perbicaraan bersambung pada 6 Okt depan.
Saman yang difailkan pada Mei 2022 itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah, menerima dana dengan pengetahuan, tort salah laku dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana SRC International.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami