Polis telah menahan seorang suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di di bawah sebuah jambatan di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada malam Khamis.

Pada Selasa, Astro AWANI melaporkan penemuan mayat Joaveni Ahmad, 41, berasal dari Pulau Pinang dipercayai seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam beberapa rekod lampau melibatkan kes transaksi wang di sekitar Sungai Besi dan Pulau Pinang.

Berikutan itu, risikan dan siasatan awal dijalankan bagi mengesan individu disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut yang membawa kepada penahanan suspek pada 8.30 malam Khamis di Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superitendan Jamalani Mohd Isa berkata suspek telah ditahan hasil bantuan pihak polis di sekitar Selangor.

"Suspek berusia 23 tahun, bekerja sendiri dan merupakan seorang warga tempatan dan kami percaya penahanan beliau akan membantu siasatan bagi mengesan suspek-suspek lain terlibat dalam kes pembunuhan ini.

" Suspek telah dibawa ke IPD Gerik dari Selangor bagi disoal siasat dan kami akan segera menggerakkan tindakan lanjut bagi menyelesaikan kes ini,"katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI pada petang Jumaat.

Jamalani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan tersebut berpunca daripada salah faham berlaku di antara kes penipuan transaksi wang antara beberapa pihak yang melibatkan mangsa, Joaveni Ahmad.

Sebelum ini, identiti mangsa telah dikenalpasti oleh isterinya yang melakukan pengecaman di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan mengesahkan itu adalah mayat Joaveni melalui pakaian mangsa.

Joaveni ditemui dalam keadaan tertiarap dengan hanya memakai seluar panjang dan bertali pinggang,tidak berbaju serta terdapat pita pelekat pada kaki dan pergelangan tangannya pada Ahad.

Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes tersebut dan ia disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.