KUALA LUMPUR: Kes perceraian di Sarawak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 sehingga September tahun ini mencecah lebih 5,000 kes, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata itu termasuk 3,582 kes pasangan Islam dan 2,076 kes pasangan bukan Islam.

Katanya, sepanjang 2020 sehingga Julai lepas juga, sebanyak 31 aduan keganasan rumah tangga diterima melalui Talian Kasih dan 1,017 aduan sama diterima pihak polis seluruh negeri itu.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mengenai statistik kes perceraian sepanjang PKP.

Menjawab soalan tambahan Alice mengenai punca kes perceraian berlaku, Siti Zailah berkata terdapat banyak sebab dan ada antaranya hanya melibatkan hal remeh.

"Salah faham ada antara puncanya selain itu ialah penagihan dadah, masalah kewangan, sikap panas baran dan tertekan perasaan," katanya.

Siti Zailah berkata kementerian mengadakan pelbagai inisiatif untuk membantu kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama pelbagai agensi.

Ini termasuk mewujudkan pusat transit sementara di masjid, pusat sokongan sosial setempat yang bergerak dan statik serta tempat selamat rumah perlindungan bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.

Untuk tempat selamat rumah perlindungan, katanya daripada 39 keseluruhan di seluruh negara, terdapat lima premis diwartakan di Sarawak.

-- BERNAMA