KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa surat pelawaan tender bagi Projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur, telah dihantar kepada tiga syarikat kontraktor termasuk Nepturis Sdn Bhd.

Bekas Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan di Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan (CKUB) Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Zulkipeli Yamat, 60, berkata dua syarikat lain ialah MCS Management Sdn Bhd dan CKJ Engineering and Services Sdn Bhd.

Menurut saksi pendakwaan ketujuh itu, terdapat harga tawaran yang diberikan oleh kontraktor-kontraktor iaitu CKJ Engineering sebanyak RM236,945,478.60, MCS Management (RM236,500,000) dan Nepturis (RM236,160,468).

Bagaimanapun, Zulkipeli yang merupakan pesara kerajaan berkata hasil daripada penilaian Jawatankuasa Penilaian Tender menyatakan bahawa, tender yang layak diperakukan dan dipertimbangkan ialah Nepturis dengan harga RM236,160,468.

"Saya sahkan kandungan Surat Setuju Terima daripada JKR kepada Nepturis bertarikh 28 Jun 2022, menyatakan pemakluman bahawa Kerajaan Malaysia bersetuju menerima tawaran tender daripada Nepturis dengan harga RM232 juta, bagi tempoh kontrak selama 36 bulan," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Kepada soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, mengapa terdapat dua nilai berbeza iaitu RM236,160,468 (ditawarkan oleh Nepturis) dan RM232 juta (diluluskan oleh Kementerian Kewangan), saksi itu menjelaskan bahawa Jabatan Perolehan Kementerian Kerja Raya (KKR) bersetuju untuk memperakukan harga tawaran sebanyak RM236,160,468.

"Walau bagaimanapun, setelah dimuktamadkan di Kementerian Kewangan, kementerian itu telah tawarkan harga sebanyak RM232 juta sahaja. Ini tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan Nepturis, sebelum kontrak projek ini (Projek Central Spine Road) ditandatangani," jelas saksi.

Kepada soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful, saksi itu bersetuju bahawa Nepturis merupakan syarikat yang membuat tawaran harga paling rendah iaitu RM236,160,468 berbanding dua syarikat kontraktor lain.

Zulkipeli turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada aduan dibuat oleh mana-mana ahli Jawatankuasa Penilaian Tender dan Jawatankuasa JKR dan KKR kepadanya, bahawa terdapat campur tangan daripada Wan Saiful berhubung pemberian tender (projek Central Spine Road) membabitkan Nepturis.

Saksi juga bersetuju bahawa beliau tidak pernah dihubungi oleh Wan Saiful dan tidak mengenali ahli politik itu sebelum ini.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 19 Jun.

-- BERNAMA