KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa pengeluaran wang Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri berjumlah RM17.9 juta telah dibuat tanpa persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Fazli Zulkifli, 36, ketika sesi pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Jelasnya tindakan itu adalah kesalahan pecah amanah yang disiasat oleh SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya: 'Encik Fazli tadi apabila ditanya siapa pemilik akaun atau wang dimasukkan dalam Yayasan Akalbudi ke Tetuan Lewis & Co (pemegang amanah Yayasan Akalbudi). Boleh Encik Fazli beritahu berkenaan pengeluaran wang dibuat ini?

Saksi: ‘Wang ini adalah satu pecah jenayah duit Yayasan Akalbudi bernilai RM 17.9 juta yang mana ia dikeluarkan tanpa persetujuan Board of Trustee (Lembaga Pemegang Amanah) yang lain dan dipindahkan ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.’

Timbalan Pendakwa Raya: 'Berdasarkan siasatan kamu tadi berkenaan Lewis & Co memegang wang ini, siapa memberi arahan kepada Lewis & Co berkenaan wang tersebut?'

Saksi: 'Arahan yang Lewis & Co terima adalah daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Lewis & Co tidak akan bertindak tanpa arahan.'

Perbicaraan Rasuah | Kes perbicaraan Zahid Hamidi

BACA: Kronologi kes rasuah Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi

Timbalan Pendakwa Raya: 'Pernah atau tidak mana-mana Lembaga Pemegang Amanah yang lain beri arahan kepada Lewis & Co?'

Saksi: 'Saya sahkan tiada.'

Dalam pada itu, Fazli turut memaklumkan siasatan SPRM juga mendapati kenyataan beramaran Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada SPRM terdapat perbezaan dengan saksi-saksi lain.

BACA: Zahid keluar wang Yayasan Akalbudi RM17.9 juta - Pegawai penyiasat SPRM

Malah siasatan dilakukannya terhadap saksi-saksi mendapati, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurul Hidayah dimaklumkan berminat bagi membuat pelaburan dalam bidang perhotelan.

BACA: Tujuh jam berlalu, nasib Ahmad Zahid masih jadi tanda tanya

Timbalan Pendakwa Raya: 'Penyataan beramaran diberikan Datuk Seri Ahmad Zahid kepada SPRM. Adakah siasatan dibuat terhadap kenyataan diberikan itu dan saksi lain?'

Saksi: 'Ya betul, saya ada buat siasatan kepada saksi-saksi lain terhadap kenyataan diberikan.'

Timbalan Pendakwa Raya: 'Jelaskan kepada Mahkamah apa perbandingan yang kamu buat dengan penyataan beramaran oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes ini?’

Saksi: Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid, dia kata Yayasan Akalbudi yang berminat buat pelaburan dalam bidang perhotelan tetapi daripada saksi-saksi lain memberitahu Datuk Nurul Hidayah yang minat buat pelaburan dan bayaran dibuat oleh Yayasan Akalbudi.'

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.