IPOH: Pihak pendakwaan kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini akan membuat permohonan bagi dua daripada saksi mengemukakan keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Datuk Jamil Aripin memaklumkan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed bahawa dua saksi itu adalah peserta Program Perlindungan Saksi di bawah akta berkenaan.

"Kami mahu dua saksi itu mengemukakan keterangan mereka mengikut Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah supaya identiti serta keterangan itu tidak didedahkan dan hanya perlu dikemukakan kepada mahkamah.

"Saya hendak maklumkan bahawa kedua-dua saksi telah menyatakan hasrat mereka untuk memberi keterangan secara tertutup dalam kamera tanpa dilihat OKT (tertuduh) dan peguam-peguamnya serta enggan identitinya didedahkan," katanya pada hari kedua perbicaraan kes itu petang ini.


Perbicaraan kes rogol Paul Yong di Mahkamah Tinggi Ipoh bermula

Katanya, orang awam dan petugas media turut tidak dibenarkan serta mendedahkan maklumat saksi yang terlindung di bawah akta berkenaan.

Jamil berkata, identiti bukan hanya bermaksud berkaitan latar belakang, maklumat atau lokasi saksi tetapi termasuklah perkara yang boleh membawa kepada pendedahan identiti seperti pengecaman wajah saksi.

Oleh itu, katanya, membenarkan tertuduh dan peguam melihat saksi, membawa kepada pendedahan identiti walaupun pihak tertentu termasuk peguam dan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai identiti saksi terlindung.

Beliau berkata, dua saksi yang terlindung di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 adalah mangsa berusia 24 tahun dalam kes itu dan seorang lagi saksi yang dilaporkan menerima ancaman bunuh.

"Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Ngeh Koo Ham ada membuat laporan polis mengatakan beliau mendapat maklumat bahawa lelaki yang membawa pembantu rumah Indonesia itu sudah menerima RM100,000 dan diugut dengan pistol dengan kata lain terdapat ancaman terhadap saksi," katanya.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong bagaimanapun menyatakan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan bagi penggunaan akta berkenaan ke atas saksi untuk memberi keterangan.

Abdul Wahab kemudian mengarahkan supaya pihak pendakwaan menunggu pasukan pembelaan menyediakan jawapan sebelum menghantar permohonan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Hakim turut mengarahkan supaya perbicaraan diteruskan dengan keterangan saksi-saksi lain bagi mengelakkan pembaziran masa.

Perbicaraan ditangguh pada 4.30 petang dan akan disambung 10 pagi esok.