Pengadu yang membuat laporan polis terhadap Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes rusuhan di Kompleks Sukan Arena All Stars telah menarik balik laporan tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat pengadu menarik semula laporan tersebut pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengapa pengadu bertindak menarik semula laporan tersebut.

"Kes akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

BACA: 'Saya nasihat Farhash serah diri kepada polis' - Anwar

Beliau turut mengesahkan setakat hari ini Pengerusi PKR Perak itu masih gagal dikesan untuk diambil keterangan berhubung kes rusuhan di Kompleks Sukan Arena All Stars, Taman Dagang Permai, Ampang Sabtu lalu.

"Suspek utama, Farhash Wafa Salvador masih gagal dikesan dan diarahkan untuk segera tampil bagi membantu siasatan.

"Sehingga kini seramai lima tangkapan telah dibuat termasuk pengadu masing-masing berusia antara 22 hingga 38 tahun dan kesemua mereka bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai," ujar beliau.

Fadzil turut mengesahkan empat daripada suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini (Sabtu) manakala seorang lagi suspek akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kerana dikehendaki polis disyaki terlibat kes dadah.