MALAYSIA
Kes saman fitnah Tuan Ibrahim terhadap Rafizi selesai secara baik

Tuan Ibrahim memfailkan saman itu terhadap Rafizi pada 17 Nov 2022 berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim memfailkan saman itu pada 17 Nov 2022 berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat.
Semasa prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Tuan Ibrahim berkata kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian di luar mahkamah.
"Berdasarkan terma-terma yang telah dipersetujui, pihak plaintif (Tuan Ibrahim) memohon untuk menarik balik saman di mahkamah tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah berkenaan kos," kata Yusfarizal. Perkara itu turut disahkan oleh peguam Azhar Arman Ali, yang mewakili Mohd Rafizi.Susulan itu, Avinder membatalkan saman berkenaan dan melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami