KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Seri Adenan Abu atau lebih dikenali sebagai 'Datuk Red', syarikatnya dan seorang individu membayar RM1.4 juta kepada 17 pembeli tanah dalam kes saman berhubung urusan penjualan lot tanah di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor.
Hakim Siti Fatimah Talib memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan 12 lelaki dan lima wanita itu selaku plaintif terhadap Adenan, syarikat ADN Properties Sdn Bhd serta Hasmy Abu Hassan yang merupakan pemilik tanah.
Mahkamah memerintahkan tiga defendan itu secara bersama atau berasingan membayar RM1.4 juta selain ADN Properties serta Adenan perlu membayar ganti rugi teladan RM170,000 kepada kesemua plaintif.
Siti Fatimah dalam penghakimannya berkata ADN Properties telah memasuki suatu perjanjian jual beli induk dengan Hasmy bagi memperoleh tanah berharga RM1.8 juta, namun hak milik tanah tersebut tidak pernah dipindahkan kepada syarikat itu dan harga belian induk tidak dijelaskan sepenuhnya.
"Berdasarkan keterangan plaintif, mahkamah mendapati Adenan merupakan pengawal sebenar operasi dalam urus niaga syarikat tersebut. ADN Properties melalui ejen-ejennya dan Adenan menggambarkan bahawa syarikat tersebut merupakan pemilik tanah yang mempunyai hak nyata untuk menjual lot tertentu," katanya.
Hakim itu berkata mahkamah mendapati penipuan terhadap plaintif-plaintif berlaku melalui satu siri representasi dan penyembunyian fakta yang material.
“Fakta material yang tidak didedahkan sepenuhnya ialah ADN bukan pemilik berdaftar dan harga belian tanah induk belum diselesaikan. Urusan pusaka dan kelulusan tanah belum sempurna, malah ADN belum berada dalam kedudukan untuk menjamin pindah milik lot tertentu," katanya.
Selain itu, Siti Fatimah berkata mahkamah mendapati ADN Properties telah melakukan kemungkiran asas selain telah menerima harga penuh tetapi gagal menyerahkan hak dan janji serta gagal memulangkan kembali wang yang diterimanya kepada pembeli.
"Kemungkiran ini menyentuh keseluruhan tujuan kontrak kerana plaintif berhak menamatkan transaksi dan mendapatkan semula harga belian," katanya.
Beliau berkata mahkamah juga mendapati Adenan tidak dipertanggungjawabkan semata-mata kerana beliau seorang pengarah, beliau adalah pelaku aktif yang mengawal ADN Properties, menandatangani perjanjian jual beli, mengetahui hak milik dan pembayaran induk belum sempurna, terus menjual lot dan tidak memulangkan wang yang diterima daripada plaintif.
"Representasi bahawa ADN Properties mampu menyampaikan lot adalah dibuat secara melulu. Sama ada representasi itu benar, fraud sivil dan tort dispute telah dibuktikan terhadapnya," katanya.
Kesemua plaintif yang memfailkan saman itu pada 2019, mendakwa mereka telah menandatangani perjanjian jual beli dan membayar harga pembelian bagi lot-lot yang dipasarkan kepada mereka.
Plaintif mendakwa bahan promosi menggambarkan tanah berkenaan sebagai sesuai untuk pembangunan kediaman, dengan kemudahan seperti surau, sekolah dan pusat rekreasi dan pembeli dimaklumkan bahawa status tanah pertanian boleh ditukar kepada pembangunan dengan bayaran tambahan RM1.50 bagi setiap kaki persegi.
Kesemua plaintif berkata hasil semakan carian tanah menunjukkan bahawa tanah itu masih didaftarkan atas nama pemilik asal dan tidak pernah dipindah milik kepada ADN Properties.
Plaintif mendakwa, tindakan pihak-pihak yang terlibat bukan sekadar suatu pelanggaran kontrak, tetapi membentuk salah nyata, penipuan dan konspirasi yang menyebabkan mereka membayar bagi tanah yang tidak dapat dipindah milik seperti dijanjikan.
Pada prosiding hari ini, kesemua plaintif diwakili peguam Bhavanash Sharma.
-- BERNAMA