SHAH ALAM: Polis menahan dua lagi individu berhubung kes samun berkumpulan membabitkan enam lelaki termasuk dua pegawai kanan dan seorang anggota polis di daerah Gombak pada 27 Feb lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kedua-dua suspek itu kini dalam tempoh reman bagi membantu siasatan.
Advertisement
“Kesemua suspek yang terlibat telah berjaya ditangkap polis, dengan dua suspek terakhir ditahan 10 Mac lepas dan sedang menerima tempoh tahanan reman untuk siasatan.
“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Bukit Aman untuk dikaji dan meminta pendapat kerana melibatkan suspek yang bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media di Bangunan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan perancang utama kes samun berkumpulan ialah orang awam dan kesemua suspek saling mengenali antara satu sama lain.
Sebelum ini, menurut laporan dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang ditahan dalam siri tangkapan bermula 2 Mac bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di daerah Gombak pada 27 Feb.
Dalam pada itu, Shazeli berkata polis sudah memperoleh beberapa petunjuk positif dalam siasatan insiden berhubung insiden khianat membakar kenderaan serta ugutan jenayah di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong, yang berlaku semalam dan hari ini.
Beliau berkata pihaknya memberikan jaminan siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak tanpa sebarang unsur penganiayaan.
Shazeli turut menasihatkan masyarakat supaya menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi terutama yang menyentuh berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R).
“Saya memberikan peringatan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam memainkan dan menyebarkan sebarang isu itu,” katanya.
Semalam, Shazeli dilaporkan berkata polis telah membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden khianat membakar kenderaan serta ugutan jenayah di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong, yang berlaku pada 9 dan 10 Mac lepas.
Dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat serta ugutan jenayah, manakala satu lagi di bawah Seksyen 435 kanun sama berkaitan khianat dengan api melibatkan kenderaan.
-- BERNAMA