KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda,Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Menerusi semakan sistem mahkamah hari ini, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada jam 9 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi, Mohd 'Afif Ali dan Natrah Fareha Rahmat manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 19 saksi akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 Sept dan 3 hingga 6 Okt ini untuk perbicaraan.

Shahrir, 72, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 21 Mei tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

Shahrir mengaku tidak bersalah atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini ,pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA