KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membangkitkan isu yang dihadapi pasukan pembelaannya yang terpaksa melalui proses perbicaraan secara hibrid membabitkan kes SRC International baru-baru ini yang didakwa tidak adil.

Menurut peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihaknya turut berdepan kesukaran untuk meneliti prosiding perbicaraan di Mahkamah Rayuan itu khususnya melibatkan kualiti audio dan video sewaktu mengemukakan bukti baharu.

“Di manakah keadilan apabila anda memaksa pihak kami untuk menghadiri prosiding secara hibrid, dan saya boleh katakan proses ini mengganggu untuk menilai reaksi pelbagai pihak.

“Dalam proses ini, anak guam saya pastinya tidak berada bersama dan proses agak sukar dan mengganggu komunikasi di dalam mahkamah,” katanya ketika sidang media secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, isu itu akan dibangkitkan dalam prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan kelak.


Kes SRC | Najib masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan

Pada 7 Disember lalu, pihak pendakwaan diketuai Datuk V Sithambaram mengemukakan penghujahan mereka di hadapan tiga Hakim di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Muhammad Shafee dan Najib mengikuti sesi prosiding itu dari rumah selepas mahkamah tidak memberi kebenaran menangguhkan prosiding berkenaan.

Sebelum itu, Muhammad Shafee membuat permohonan untuk menangguhkan perbicaraan selepas ibu kepada salah seorang pasukan peguamnya disahkan positif COVID-19.

Ujarnya lagi, pihak pendakwaan yang diketuai Sithambaram dikatakan mempunyai kelebihan apabila mampu untuk hadir secara fizikal di hadapan kesemua panel hakim.

“Saya tidak mendengar salah seorang hakim ketika membuat penghujahan dan ada kalanya imej pada paparan skrin dalam kualiti yang tidak baik,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu menegaskan, proses perbicaraan mengenai kes jenayah secara hibrid tidak boleh dilakukan meskipun telah ada pindaan mengenai perbicaraan sewaktu pandemik.

“Saya harap Majlis Peguam ada pendirian mereka dan memandang isu ini memandangkan ia merupakan kes berkepentingan awam,” ujarnya lagi.


Kes SRC | Semua pihak perlu hormati sistem penghakiman

Pada 8 Disember, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Hakim Mohd Nazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Najib, 68, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.