Polis meminta orang ramai agar tidak membuat andaian berhubung insiden anggota tentera yang ditembak di sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya memberitahu insiden berkenaan melibatkan isu keselamatan kedua negara.

Menurut Mohd Nashir, Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti suspek dan motif kejadian.

Sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat kesimpulan atau spekulasi mengenai insiden berkenaan.

Setakat ini tidak banyak maklumat dapat didedahkan kerana bimbang ia akan mengganggu proses siasatan.

Namun polis akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan siasatan kes itu.

Dalam kejadian 4 pagi Sabtu, anggota Tentera Malaysia cedera ditembak lelaki bersenjata ketika melakukan rondaan di sekitar Pos N9 Bukit Kayu Hitam.

Insiden berlaku berhampiran pagar yang memisahkan sempadan kedua-dua negara.

Mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Azam Rudin Azizan, 26 tahun dari rejimen askar melayu diraja ke-2 yang berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Mangsa dikatakan terkena enam das tembakan masing-masing dua di peha kanan, satu di peha kiri dan tiga di bahagian belakang.