MALAYSIA
Kes tembak wanita hamil: Aimay dicekup selepas tiga tahun diburu polis

Selepas tiga tahun hidup dalam pelarian, Aimay (kiri) yang dikaitkan dengan pembunuhan Farrah Emirah (kanan) akhirnya berjaya dicekup PGA di Jalan Bukit Lata, Pasir Mas, semalam. Foto PDRM/Sinar Harian
PASIR MAS: Selepas tiga tahun hidup dalam pelarian, seorang lelaki dikenali sebagai Aimay yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita hamil tujuh bulan akhirnya berjaya dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan Bukit Lata di sini semalam.
Suspek Aimay atau nama sebenarnya Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, ditahan pada jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil soal siasat awal mendapati Aimay tidak mengaku melepaskan tembakan ke atas wanita berkenaan.
"Suspek juga tidak mengaku terlibat dalam kejadian tersebut," katanya kepada pemberita hari ini.Menurut beliau, siasatan lanjut akan diteruskan oleh polis selepas tempoh reman diperolehi.
Ujar Kama Azural, dalam serbuan itu PGA turut menahan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun.
"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek tidak menjumpai barang yang menyalahi peraturan. Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methampitamine.
"Semakan mendapati suspek yang ditangkap bersama Aimay itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.
Sinar Harian pada 9 Jun 2022 melaporkan, polis mengesan seorang lelaki yang juga saksi bagi membantu siasatan kes ibu hamil yang maut ditembak dalam kejadian di Kampung Repek, Pasir Mas.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, lelaki dikenali Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 21, atau nama panggilan, Aimay beralamat terakhir di Kampung Pak Jak, Pasir Mas.
Dalam kejadian itu, seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak di bahagian perut dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek.
Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dan mempunyai kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami