SHAH ALAM: Remaja lelaki yang sedang dibicarakan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, memohon maaf di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini ketika prosiding pembelaan berlangsung hari ini.
Permohonan maaf itu dibuat ketika tertuduh juvana berusia 15 tahun memilih untuk memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang pesalah di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.
Peguam bela, Kitson Foong, berkata keputusan itu bermakna anak guamnya hanya membacakan kenyataan ringkas tanpa perlu melalui proses pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
“Anak guam saya memilih untuk memberikan keterangan secara tidak bersumpah dari kandang pesalah. Dalam kenyataan yang dibacakan, dia turut menyatakan rasa kesal dan memohon maaf atas kejadian yang telah mengorbankan nyawa mangsa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.
Beliau berkata, sebaik sahaja tertuduh selesai memberikan keterangannya, pihak pembelaan meneruskan kes dengan memanggil saksi kedua, iaitu Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Ian Lloyd Anthony.
Menurut Kitson, keterangan pakar berkenaan penting bagi membantu mahkamah menilai keadaan mental tertuduh ketika insiden yang menjadi asas pertuduhan itu berlaku.
“Pihak pembelaan akan bergantung kepada Seksyen 84 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pembelaan atas alasan tidak siuman. Justeru, keterangan pakar psikiatri amat penting bagi menyokong hujahan kami,” katanya.
Prosiding pada sebelah petang diteruskan dengan sambungan keterangan doktor psikiatri tersebut sebelum mahkamah menetapkan tarikh berikutnya bagi menyambung perbicaraan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sekali gus mengarahkan remaja itu dipanggil membela diri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 14 tahun ketika kejadian didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, memandangkan tertuduh masih berstatus kanak-kanak ketika kesalahan didakwa dilakukan, peruntukan Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menghalang mahkamah daripada menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) akta sama memperuntukkan bahawa mana-mana kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan tersebut boleh diperintahkan supaya ditahan selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi kes di Wilayah Persekutuan atau oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri mengikut negeri tempat kesalahan itu dilakukan.