Skip to main content

Malaysia

Kes tikam rakan sekolah: 'Anak saya bukan pembuli' - Bapa mangsa

[TB]_Bapa pelajar kes tikam 2_SINAR
Mohd Firuz (tengah) ditemui pemberita di Hospital Banting pada Selasa.
Advertisement

BANTING: "Anak saya bukan pembuli.”

Demikian tegas Mohd Firuz Ibrahim, 43, bapa kepada pelajar yang cedera ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Firuz, beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada pihak polis.

“Saya ada juga mendengar cerita dan menerima mesej WhatsApp yang mengandungi senarai nama yang tular itu, tetapi kami tidak dapat memastikan kesahihannya.

“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Banting pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kandungan surat yang tular di media sosial dan mengaitkan nama anak perempuannya dengan dakwaan kes buli.

Mengulas mengenai peribadi anaknya, Mohd Firuz berkata, anaknya seorang yang pendiam dan tidak pernah keluar bersendirian bersama rakan-rakan.

“Kalau keluar rumah pun saya atau ibunya yang menghantar.

“Anak saya seorang yang pendiam. Bila ditanya, barulah dia menjawab dan hanya meminta sesuatu apabila perlu.

“Dia tidak pernah keluar bersendirian dengan rakan-rakan. Jika ada dakwaan mengatakan dia membuli, saya rasa perkara itu tidak mungkin berlaku. Namun, saya terbuka sekiranya pihak polis mahu menyiasat elemen buli,” katanya.

“Anak saya juga tidak pernah bercerita mengenai rakan tersebut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dipercayai menikam mangsa yang sebaya dengannya sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, suspek tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.

Suspek yang memakai kemeja-T hitam dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama sebelum kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, suspek ditahan sejurus selepas kejadian dan kini direman selama empat hari sehingga Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement