KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat diketahui seawal sekitar jam 10 malam pada hari pengundian, Sabtu ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sasaran itu disokong oleh sistem SPR yang telah dinaik taraf bagi mempercepat proses penjumlahan dan pengumuman keputusan.
"Kita menjangkakan keputusan penuh sebelum pukul 12 tengah malam. Dengan sistem yang telah dinaik taraf, kita harap boleh capai sekitar pukul 10 malam.
"Kita tidak keluarkan keputusan awal. Kita akan keluarkan keputusan penuh," katanya pada sidang media sempena hari pengundian awal PRN Johor di Kem Mahkota, Kluang, pada Selasa.
Beliau berkata, SPR turut berharap semua pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.
"Kami amat berharap semua pengundi yang layak mengundi keluar mengundi beramai-ramai. Ini peluang untuk kita sama-sama menyumbang kepada negara melalui sistem demokrasi yang kita pegang selama ini.
"Saya mengharapkan semua pengundi tanpa mengira lapisan umur keluar mengundi beramai-ramai pada 11 Julai," katanya.
Dalam pada itu, Ramlan memaklumkan SPR menerima 588 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen setakat ini, selain 44 laporan polis dan tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hari pengundian awal PRN Johor berlangsung hari ini membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasangan mereka yang layak mengundi.
SPR menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.