Kes ugutan bunuh peguam: Polis minta bantuan MCMC kesan pemilik akaun media sosial

Pada Sabtu, Shamsudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada peguam terbabit pada 5.16 petang, Jumaat. - Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang dipercayai mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki dalam insiden tembakan di Melaka, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Polis mengesan pemilik akaun media sosial yang mengeluarkan ugutan bunuh terhadap peguam yang wakili keluarga tiga lelaki dalam insiden tembakan di Melaka.
- Permohonan dibuat kepada MCMC dan keterangan pengadu direkodkan untuk membantu siasatan.
- Suspek Geng DT ditembak mati selepas menetak seorang koperal; siasatan mendapati mereka aktif melakukan jenayah samun bersenjata dengan kerugian RM1.35 juta.
"Setakat ini, kita hanya merakam keterangan pengadu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Shamsudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada peguam terbabit pada 5.16 petang, Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati peguam tersebut telah membaca satu komen daripada satu individu yang tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya.
Komen yang mengandungi unsur ugutan bunuh tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan peguam terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, 24 November lalu.
Siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah selain turut dikehendaki polis, manakala seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.
Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.
Berikutan laporan keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes tembakan itu pada 3 Disember.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengendalikan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden berkenaan yang sebelum ini disiasat oleh JSJ Kontinjen Melaka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. -- Sinar Harian


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

