KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diasak bertalu-talu oleh pihak pendakwaan semasa disoal balas mengenai bidang tugasnya pada perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran menyoal Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berulang kali setelah saksi pembelaan itu tidak menjawab soalan tersebut secara khusus.

Raja Rozela mencadangkan kepada Fadzlette bahawa tugas untuk meminta penyata kad kredit dan cek daripada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, adalah di luar bidang kerjanya sebagai setiausaha akhbar.

Bagaimanapun, Fadzlette, 60, tidak menjawabnya secara khusus menyebabkan Raja Rozela menyoal lagi serta mempersoalkan tindakan saksi itu yang dikatakan tidak boleh menjawab, sedangkan ia soalan yang mudah.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid kemudian bangun dan berkata cara Raja Rozela mengemukakan soalan seolah-olah menakut-nakutkan saksi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun berkata Raja Rozela tidak menakut-nakutkan saksi dan membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan soalan tersebut.

Raja Rozela yang memohon maaf mengenai perkara itu berkata itu adalah cara biasa beliau mengemukakan soalan dan hanya menggunakan suara normalnya sahaja.

Raja Rozela: Saya cuba bercakap dengan lebih manis, saya minta maaf kalau saya cakap kasar, tetapi Datuk (Fadzlette) tidak menjawab soalan lagi. Setuju atau tidak saya katakan bukan bidang kuasa Datuk untuk minta penyata bank dan cek daripada Mejar Mazlina kerana Datuk hanya setiausaha akhbar yang hanya membuat teks ucapan.

Fadzlette: Tidak setuju.

Terdahulu, Fadzlette dalam pernyataan saksinya berkata beliau tahu tentang isu-isu kecuaian Mazlina kerana Ahmad Zahid pernah memaklumkan kepadanya dan mengarahkannya memantau tindakan wanita itu kerana pangkat beliau (Fadzlette) lebih tinggi dalam angkatan tentera.

"Saya memaklumkan kepada Mejar Mazlina berkenaan pesanan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid itu. Saya pernah meminta Mejar Mazlina untuk menunjukkan penyata-penyata kad kredit dan cek-cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid," katanya.

BACA: Cop tandatangan Ahmad Zahid dalam kawalan Mejar Mazlina - Fadzlette

Selain itu, Fadzlette berkata Mazlina melakukan kesalahan ingkar perintah melebihi 10 kali, namun tiada aduan dibuat terhadapnya dan hanya dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri.

Fadzlette yang merupakan Pengarah Media kepada Presiden UMNO itu kemudian bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa tiada tindakan dikenakan terhadap Mazlina di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Mengenai pengurusan kewangan Ahmad Zahid, Fadzlette berkata beliau tidak pasti sama ada Mazlina diarahkan oleh Ahmad Zahid untuk menguruskan kewangan peribadi beliau (Ahmad Zahid) termasuk kad kredit.

"Saya tidak tahu Mejar Mazlina mendapat kebenaran daripada Datuk Seri (Ahmad Zahid) untuk membayar kad kredit dan menggunakan cop tandatangannya," katanya pada prosiding membela diri Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA