KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, belum menetapkan sebarang keputusan berhubung permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan buat masa ini sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dijadualkan akan didengar pada 24 April depan.
Advertisement
“Mahkamah ini tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga selepas Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan tersebut," katanya.
Menurut beliau, sekiranya Mahkamah Tinggi membuat keputusan sekarang, ia berkemungkinan menyebabkan prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan menjadi tidak lagi relevan.
Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk pembebasan penuh terhadap 42 pertuduhan rasuahnya membabitkan Yayasan Akalbudi hari ini.
Badan Peguam memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa ia mempunyai permohonan yang belum selesai untuk kebenaran di Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan berhujah bahawa membenarkan pembebasan penuh diberikan sekarang boleh menyebabkan cabarannya menjadi akademik.
Bagaimanapun, mahkamah menegaskan, isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang yang signifikan dan kepentingan awam, justeru adalah lebih wajar untuk menunggu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum sebarang penentuan dibuat.
Pada 28 Januari lalu, Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, atas alasan utama iaitu Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.
Dalam prosiding terbabit, Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bertindak bagi pihak Pendakwa Raya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada awal Januari berkata, tiada tindakan lanjut terhadap 47 tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Presiden UMNO itu turut berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.