MALAYSIA
Kes Zara Qairina: 21 kertas siasatan dibuka, skop diperluas termasuk berita palsu

Saifuddin berkata, siasatan kini diperluaskan untuk merangkumi individu yang cuba memanipulasi isu tersebut bagi mengganggu gugat ketenteraman awam. - Gambar Japen
KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat ini.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 21 kertas siasatan termasuk terhadap individu yang menyebarkan berita palsu dan memanipulasi isu kematian Zara Qairina, bagi menjaga ketenteraman awam.
- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan rakyat tidak seharusnya bertindak berdasarkan andaian atau tekanan politik, dan menyeru agar maklumat tidak sahih tidak disebarkan secara tergesa-gesa.
- Prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian Zara akan bermula 3 September, dengan ibu Allahyarham dan beberapa saksi lain termasuk guru dan pelajar dijangka dipanggil, manakala peguam keluarga memohon menjadi pihak berkepentingan.
"Siasatan kini telah diperluaskan untuk turut merangkumi mereka yang didapati cuba memanipulasi isu ini. Polis membuka 21 kertas siasatan keseluruhan.
"Ia termasuk penyebaran berita palsu di media sosial dan penipuan mendorong kepada himpunan jalanan.
"Saya faham rakyat yang turun menghantar isyarat kepada kerajaan supaya segera bertindak... jika ada elemen perpetrators bawa ke muka pengadilan dan itulah yang akan kita laksanakan," katanya pada sesi penerangan menteri selepas tamat sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Saifuddin menegaskan, rakyat tidak boleh bertindak berdasarkan andaian, desas-desus di media sosial atau tekanan daripada ahli politik.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menyebarkan berita yang belum sahih, apatah lagi mempolitikkan isu sensitif berdasarkan maklumat tidak tepat berkenaan.
Sesi penerangan menteri itu kemudiannya dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, iaitu Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru), Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu langat), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar).
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian tragis remaja itu mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan rakyat, terutama selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah terbabit.
Tanda pagar #JusticeForZara digunakan secara meluas di media sosial sebagai solidariti menuntut keadilan dan siasatan telus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami